SIBU: Kira-kira 200 penghuni Rumah Selanjat di Sungai Segan, Ulu Sebauh, Bintulu yang terletak kira-kira 180 kilometer dari sini, hilang tempat tinggal apabila 33 daripada 36 pintu rumah panjang kediaman mereka musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata kebakaran itu membabitkan satu blok lama rumah panjang berstruktur tidak kekal dengan anggaran 90 peratus musnah.

“Tiga pintu lagi berjaya diselamatkan daripada terbakar. Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya dan anggota pemadam berjaya menghalang kebakaran daripada merebak ke blok baharu rumah panjang tersebut yang hanya berjarak 4 meter dari tempat kebakaran berlaku.

“Anggaran penghuni terjejas adalah seramai 200 orang daripada 33 keluarga. Mereka berjaya keluar dari kawasan kebakaran serta tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 5 Bintulu Wan Kamaruddin Wan Ahmad, ketika dihubungi Bernama, pula berkata kebakaran dipercayai bermula dari unit tengah rumah panjang tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata punca sebenar serta kerugian akibat kebakaran itu masih disiasat dan pasukan forensik akan ke lokasi kejadian esok untuk menjalankan siasatan lanjut. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image