IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak akan mengadakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai status operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Mac lepas.

Pengarah JBPM Perak Azmi Osman berkata perbincangan itu bagi menentukan sama ada mahu meneruskan atau menutup sepenuhnya operasi tersebut yang kini masih terus dilaksanakan dalam skala kecil sahaja.

“Ini kerana berdasarkan kepada peraturan sedia ada, kemungkinan besar operasi SAR itu boleh ditutup tetapi kita perlu melihat daripada pelbagai aspek khususnya perundangan. Apabila hendak mengisytiharkan kehilangan seseorang itu dalam sesuatu insiden, kita perlu merujuk kepada peraturan yang telah ditetapkan.

“Operasi SAR itu secara dasarnya masih diteruskan oleh pemilik kuari namun operasi itu sudah diperlahankan sedikit, tidak lagi seperti mana sebelum ini, kita tetapkan satu atau dua anggota sahaja setiap hari,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Keselamatan Kebakaran bagi Penghapusan Bahaya Kebakaran (Pemeriksaan Premis-premis membeli-belah, pusat hiburan dan tempat tumpuan orang ramai) sempena musim perayaan Aidilfitri di sebuah pusat hiburan di sini hari ini.

Kejadian pada 8 Mac lepas itu menyebabkan dua lelaki dipercayai tertimbus iaitu Kheow Loo Siew Soon, 49, dan Itam Lasoh, 43, manakala dua lagi, Mohd Razli Suhaimi, 35, mengalami patah tulang kaki serta Pan Tam, 38, hanya cedera ringan. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image