KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mencari mekanisme terbaik untuk menangani kenaikan harga barang, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Menterinya, Datuk Shahelmey Yahya berkata selain kementeriannya, jawatankuasa itu juga akan melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, dan Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah.

“Beberapa siri mesyuarat jawatankuasa telah diadakan membincangkan penyelesaian jangka pendek dan panjang, jawatankuasa setuju langkah KPDNHEP Sabah sesuai dengan situasi kini dan Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri sentiasa memantau bekalan makanan terutama ayam dan telur mencukupi.

“Ketiadaan bekalan bahan makanan berlaku disebabkan gangguan rantaian pengeluar dan pembekal yang dipengaruhi oleh kesan Covid-19 dan pascapandemik, juga pemulihan ataupun permintaan yang mendadak kesan daripada pemulihan ekonomi yang kita alami sekarang,“ katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) yang ingin tahu langkah diambil kerajaan negeri untuk mengatasi masalah kenaikan harga barangan keperluan yang amat membebankan rakyat.

Shahelmey berkata antara langkah yang telah dan sedang dilaksanakan adalah pemberian subsidi dan penetapan kawalan harga bersubsidi contohnya tepung gandum pelbagai guna, minyak masak sawit tulen pekat, gas petroleum cecair (LPG) dan sebagainya.

“Selain itu, penetapkan harga siling bagi barang yang disenaraikan sebagai Barang Harga Terkawal yang tidak bersubsidi sepanjang masa juga dilaksanakan serta menentukan harga maksimum ayam dan telur ayam yang telah diteruskan hingga 31 Ogos 2022.

“Untuk mekanisme jangka masa panjang, KPDNHEP Sabah sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan yang rapi serta menyeluruh ke atas semua premis perniagaan. Pemeriksaan dan pemantauan ini merangkumi kawasan bandar dan luar bandar,“ katanya.

Beliau berkata KPDNHEP Sabah juga melaksanakan penguatkuasaan serta pemeriksaan untuk menangani isu kenaikan harga barang yang dilaporkan melalui pelbagai pendekatan berterusan dengan pelaksanaan Op Pasar, Op Menu dan Op Catut.

Katanya, langkah itu dilaksana di seluruh negeri bagi menangani isu kenaikan harga barang dengan menggunakan perundangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image