PUTRAJAYA: Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean ke-55 (AMM ke-55) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan yang dihoskan Kemboja selaku Pengerusi ASEAN 2022 .

Menurut kenyataan Wisma Putra malam ini sepanjang tujuh hari, bermula 31 Julai hingga 6 Ogos Malaysia dijadual menyertai beberapa mesyuarat.

Mesyuarat itu termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean Ke-55, Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean dengan negara rakan dialog secara berasingan (China, Korea, Jepun, United Kingdom, India, Kanada, Australia, New Zealand, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan Rusia), Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean+3 Ke-23 (APT FMM Ke-23), Mesyuarat Menteri-menteri Luar Sempena Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-12 (EAS FMM Ke-12), Forum Serantau Asean Ke-29 (ARF Ke-29), Mesyuarat Suruhanjaya Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan mesyuarat bersama wakil-wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR).

Malaysia, sebagai Negara Penyelaras untuk Hubungan Dialog Asean-Kanada 2021-2024, akan bersama mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean-Kanada.

Pada AMM ke-55, Menteri-menteri Luar Asean akan membincangkan kemajuan Pembangunan Komuniti Asean, Keutamaan dan Hasil Utama Asean termasuk strategi bersama pemulihan sosioekonomi Covid-19.

Turut bakal dibincangkan Pelan Pembangunan Keselamatan Politik ASEAN 2025, isu-isu serantau serta persiapan untuk Sidang Kemuncak Asean Ke-40 dan Ke-41 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan, yang dijadualkan pada November 2022.

Antara isu-isu yang akan dibangkitkan oleh Malaysia semasa mesyuarat-mesyuarat itu termasuk usaha pemulihan ekonomi pasca Covid-19, pengukuhan multilateralisme, kemampanan dan perubahan iklim, kerjasama kesihatan awam, ekonomi dan transformasi digital, isu Laut China Selatan, situasi di Ukraine dan konflik di Myanmar. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image