Saksi membayangkan Jho Low pengarah bayangan 1MDB - Peguam bela Najib

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau melaksanakan arahan diberikan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low kerana beliau percaya ia datang daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan tu, peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata ia bercanggah dengan kes pihak pendakwaan bahawa bekas perdana menteri telah berperanan sebagai ‘pengarah bayangan’ dana pelaburan negara itu.

Kepada soalan Muhammad Shafee, saksi berusia 50 tahun itu berkata beliau tidak terbabit dalam proses membuat keputusan penting bagi menukar dan melakukan enam transaksi pelaburan 1MDB, tetapi lebih kepada diberi arahan oleh peguam 1MDB, Jasmine Loo dan Jho Low sendiri.

Saksi kesembilan pihak pendakwaan itu berkata beliau bertindak atas arahan dan pelan tindakan diberikan oleh Jho Low kerana beliau percaya arahan itu datang daripada Najib.

Muhammad Shafee: Saya bingung dengan semua ini. Bercanggah dengan kes pihak pendakwaan, keterangan yang anda diberikan hari ini adalah bahawa Jho Low ialah pengarah bayangan 1MDB, dan bukan anak guam saya. Semua yang Jho Low suruh, anda laksanakan.

Shahrol Azral: Kerana saya percaya beliau bertindak mewakili pemegang saham.

Muhammad Shafee: Tetapi anda tidak pernah memeriksanya dengan pemegang saham.

Shahrol Azral: Ada satu atau dua kali.

Muhammad Shafee: Satu atau dua, tetapi banyak perkara anda tidak periksa.

Kepada soalan lain peguam, Shahrol Azral berkata tidak ada masa untuk memanggil mesyuarat lembaga berhubung penukaran tunai Murabahah kepada ekuiti daripada usaha sama 1MDB-PSI.

“Pada masa yang sama, Jho Low dan Jasmine mahu ia dilakukan segera, dan saya ikut sahaja,“ katanya.

Muhammad Shafee: Sebab anda tergesa-gesa adalah kerana anda perlu muktamadkannya sebelum tahun kewangan berakhir. Anda perlu lakukan penstrukturan semula kerana jika tidak anda perlu mewajarkan nilai tunai murabahah. Ia seperti pertunjukan silap mata. Siapa dalangnya?

Shahrol Azral: Jho Low

Muhammad Shafee: Jadi, ia bukan Datuk Seri Najib. Semua ahli lembaga telah diperdaya, anda sebahagian daripada ini. Anda tahu ini yang berlaku.

Shahrol Azral: Tidak setuju

Ketika ditanya, “adakah anda kini berpuas hati bahawa ini merupakan mekanisme untuk memperdaya ahli lembaga untuk mempercayai bahawa pelaburan mereka dalam keadaan baik?” Shahrol Azral menjawab “berdasarkan pengalaman, ya”.

Muhammad Shafee: Saya cadangkan jika semua ahli lembaga 1MDB boleh diperdayakan, dengan itu mungkin perkara yang sama boleh berlaku pada Najib. Adakah perdana menteri atau menteri kewangan berada dalam kedudukan lebih bijak daripada ahli lembaga?

Shahrol Azral: Saya tidak boleh komen kerana saya tidak tahu sama ada perdana menteri atau menteri kewangan mempunyai akses kepada maklumat pada waktu itu.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah manakala Timbalan Pendakwa Raya yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai barisan pendakwaan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image