ALOR SETAR: Satu kes baharu Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan jangkitan saluran penafasan atas (URTI) direkodkan di Kedah pada Minggu Epidemiologi ke-28 (ME28) iaitu dari 10 hingga 16 Julai membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata setakat ini sebanyak 24 kes ILI/URTI direkodkan melibatkan enam kes di daerah Kuala Muda, Sik (empat), Baling dan Bandar Baharu (tiga), Kubang Pasu dan Yan (dua) serta Kota Setar, Kulim, Langkawi dan Pendang, masing-masing satu kes.

“Kebanyakan kes melibatkan pelajar sekolah berasrama dengan jumlah pelajar yang ramai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata bagi tempoh ME28 juga, sebanyak 105 kes baharu Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dilaporkan, iaitu penurunan 81 kes atau 43.6 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Dengan pertambahan ini, jumlah kes HFMD di Kedah pada 2022 (sehingga 16 Julai) adalah sebanyak 6,348,” katanya.

Mengenai Covid-19, beliau berkata sebanyak 491 kes direkodkan dalam ME28 menjadikan jumlah keseluruhan kes sepanjang tahun ini adalah 302,652 kes. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image