HANOI: Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA ke-34 pada 2027, sebahagaian besarnya dipengaruhi oleh kejayaan negara dalam menganjurkan temasya dwitahunan berkenaan sebelum ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) mahukan supaya hak penganjuran itu diberikan kepada negara yang pernah dan mampu menjayakannya sebelum ini.

Oleh itu mesyuarat Majlis SEAGF yang diadakan sebelum upacara pembukaan Sukan SEA ke-31 pada Khamis lepas, sebulat suara memutuskan untuk memberikan hak penganjuran edisi 2027 kepada Malaysia, manakala Thailand dan Singapura akan menjadi tuan rumah masing-masing pada 2025 dan 2029.

“Ini kerana dalam pascapandemik COVID-19, SEAGF merasakan bahawa aktiviti sukan di rantau ini perlu diaktifkan semula dan diberi nafas baharu,” kata Mohamad Norza kepada Bernama di sini, hari ini.

Difahamkan bahawa negara lain juga cuba untuk mendapatkan tanggungjawab sebagai tuan rumah 2027, tetapi SEAGF memilih Malaysia sebagai tuan rumah temasya sukan serantau yang dulunya dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) itu, buat kali ke tujuh selepas 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.

Bagi edisi 2031 kemungkinan besar ia akan dianjurkan oleh Laos atau Indonesia.

Mohamad Norza berkata keputusan SEAGF itu merupakan berita amat menggembirakan bagi warga sukan di negara ini.

“Kita masih boleh meneruskan program yang berkaitan dengan pembangunan sukan termasuk sukan elit, dan ini juga selari dengan apa yang kita mahu capai di Kemboja, dengan harapan kita akan dapat menghantar atlet muda pasca-Sukma (Sukan Malaysia) tahun ini.

“Dan ini boleh diteruskan kerana keseluruhan rantaian nilai mesti bermula daripada Sukma sehingga sukan elit, terus ke Sukan Olimpik,” katanya.

Di samping berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kerana maklum balas pantas mereka terhadap pengumuman itu Khamis lepas, Mohd Norza berkata beliau akan bermesyuarat dengan kedua-dua pemimpin berkenaan untuk libat urus awal bagi penyediaan kertas kerja yang diperlukan kepada kerajaan.

“Saya rasa kita mempunyai masa yang cukup, kita melihat kepada lima tahun akan datang, kita buat langkah demi langkah. Kita perlu mulakan dengan proses berfikir, sama ada kita mahu buat di Kuala Lumpur atau seluruh Malaysia, serta jenis sukan apa yang kita mahu perkenalkan.

“Walaupun (ketika itu) Perdana Menteri ada di Amerika Syarikat, saya rasa sebagai bekas menteri sukan, beliau memahami kehendak dan aspirasi warga sukan kerana maklum balas beliau amat positif,” katanya.

Sementara itu mengenai Sukan SEA ke-31 yang sedang berlangsung, Mohamad Norza berkata walaupun terdapat beberapa isu kecil, Vietnam sangat terbuka dan positif dalam menyelesaikan sebarang masalah dengan semangat persahabatan yang tinggi antara negara.

Beliau juga berharap atlet Malaysia dapat melakukan yang terbaik bagi menyumbang lebih banyak pingat untuk negara, termasuk daripada sukan yang tidak disandarkan dalam sasaran 36 emas, 35 perak dan 75 gangsa.

Sehingga pukul 2 petang waktu tempatan, Malaysia telah meraih 13 emas, lapan perak dan 24 gangsa bagi menduduki tempat kelima dalam senarai pungutan pingat, manakala tuan rumah Vietnam tempat teratas dengan 40-32-31. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image