KUALA LUMPUR: Keputusan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan beberapa lagi parti politik yang mahu menyertai Barisan Nasional (BN) akan dibincang dan diputuskan esok, kata Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat mengenai parti lain yang turut berhasrat menyertai BN.

“Tidak perlu saya beritahu, tapi permintaan mereka termasuk PBM untuk menyertai BN kita akan putuskan pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam esok,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN dijangka berlangsung malam esok di WTC.

Sebelum ini, pemimpin PBM Datuk Zuraida Kamaruddin berkata parti itu telah menghantar permohonan kepada BN bagi menyertai gabungan itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad berkata elemen calon yang disukai pengundi akan menjadi antara strategi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Untuk PRU15 ini, saya nak minta senarai calon awal-awal. Kita mesti turunkan calon yang pengundi nak, bukan yang Ketua Bahagian nak, bukan yang kita nak,“ katanya.

Ditanya sama ada langkah ini akan menyebabkan terdapat banyak muka baharu dinamakan sebagai calon, Mohamad berkata ia bergantung kepada sokongan terhadap calon.

“Jika calon lama masih dapat sokongan, kita akan kekalkan, di samping kita pilih juga calon baharu yang sesuai,“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image