SHAH ALAM: Kerajaan Selangor merancang untuk mengambil alih sebahagian jalan-jalan Persekutuan di kawasan perindustrian yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Ng Sze Han berkata PBT mempunyai peruntukan untuk membaiki jalan-jalan yang rosak di kawasan tersebut.

Bagaimanapun katanya proses tersebut mengambil masa untuk menentukan status jalan di kawasan perindustrian negeri itu sebelum diserahkan kepada PBT kerana terdapat jalan-jalan seperti jalan utama yang dikendalikan oleh JKR sepenuhnya.

“PBT dan JKR sedang dalam perbincangan untuk mengambil alih sesetengah jalan di bawah JKR kerana jika jalan tersebut di kawasan perindustrian, saya tidak nampak ada masalah untuk JKR serahkan (kepada PBT).

“Kita harap ia dapat disempurnakan dalam masa yang singkat,“ katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang) ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ng turut menjawab pertanyaan lisan Syamsul Firdaus Mohamed Supri (PH-Taman Medan) berkenaan langkah kerajaan negeri menangani kewujudan premis-premis di kawasan industri yang terbiar.

Katanya PBT tetap memantau status premis-premis di kawasan industri terbiar bagi mengelakkan kejadian longgokan sampah haram, kegunaan premis bertentangan dengan aktiviti dibenarkan serta pembayaran cukai taksiran.

“Selain itu PBT akan mengenal pasti faktor dan cara untuk merangsang aktiviti ekonomi, memberi insentif atau memperkenalkan tarikan baharu yang bersesuaian untuk pertumbuhan pembangunan kawasan berkenaan,“ katanya.

Katanya PBT menggalakkan kerjasama antara pemilik tanah atau premis dengan pihak berkepentingan atau pelabur untuk bersama-sama mengusahakan pembangunan di kawasan berkenaan bagi menyelesaikan isu tersebut. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image