SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menubuhkan sebuah jawatankuasa perubahan iklim yang menghimpunkan tokoh-tokoh akademik alam sekitar dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mendepani kemungkinan bencana di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata jawatankuasa tersebut akan diketuai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar negeri Hee Loy Sian yang akan menumpukan terhadap usaha pencegahan dan kawalan bencana.

“Satu laporan berkenaan

kawalan bencana antara Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM), Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan negeri Selangor telah diperoleh dan direncana (dan data bagi laporan akan dihasilkan),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor di sini hari ini.

Menurut Amirudin, laporan tersebut diharap boleh menyelamatkan kebarangkalian bandar-bandar berhampiran dengan pesisir pantai daripada dinaiki air di masa hadapan dan langkah menghadapi banjir seperti yang berlaku baru-baru ini supaya lebih bersiap siaga.

Beliau berkata laporan tersebut turut merangkumi aspek perubahan iklim dan usaha mengurangkan kesan pemanasan global serta kesan sampingan lain antaranya harga makanan, kelangsungan hidup, pemeliharaan dan pembangunan hijau.

Terdahulu, Amirudin dalam amanat beliau menyeru penjawat awam supaya lebih bersiap sedia untuk berdepan dengan cabaran baharu susulan pandemik COVID-19 dan banjir baru-baru ini. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image