KUALA LUMPUR: Kejayaan menawan puncak Gunung Everest menjadi pembakar semangat buat pendaki warga emas negara N. Elanghovan, atau lebih dikenali sebagai Elango, 64, untuk meneruskan misi menakluki G7 (Tujuh Puncak, Tujuh Benua) pada masa hadapan.

G7 merujuk kepada tujuh gunung tertinggi di dunia di tujuh benua yang menjadi matlamat besar para pendaki untuk menawannya termasuk Everest (8,850 meter), Aconcagua di Argentina (6,961 meter), Denali di Alaska (6,194 meter), Kilimanjaro di Afrika (5,895 meter) dan Elbrus di Rusia (5,642 meter).

Elango, yang kelihatan bersemangat dan sihat pada sidang media khas secara dalam talian hari ini, berkata umur hanya sekadar nombor dan tidak pernah menjadi penghalang untuk beliau merealisasikan impiannya walaupun sudah lanjut usia.

Meskipun berdepan limitasi pergerakan akibat COVID-19 ketika sesi latihan pendakian, perkara itu tidak mematahkan semangat Elango untuk bangkit meneruskan misi yang tertangguh sejak 2020.

“Saya mula-mula datang ke Everest Base Camp (EBC) pada tahun 2014, ketika itu ia menjadi satu inspirasi kepada saya untuk mendaki Gunung Everest.

“Pada tahun 2019, saya dan T. Ravichandran, 57, ke Nepal dan mendaki Island Peak. Pada masa itu, banyak yang saya belajar mengenai ilmu pendakian daripada Ravi Everest ketika ekspedisi pendakian,” katanya yang kini berada di EBC menerusi platform Google Meet.

Elango berkata meskipun sesi latihan di dalam negara tidak seperti pendakian alpine namun ia tetap memberi persediaan yang secukupnya kepada mereka dari segi stamina dan fizikal untuk ekspedisi pendakian Gunung Everest pada kali ini.

“Tidak perlu latihan mendaki gunung setinggi 8,000 meter, cukup sekadar penetapan minda, ilmu dan bimbingan yang baik sudah mampu mendorong seseorang itu menawan puncak Everest,” katanya.

Elango, yang ketika itu berada pada ketinggian 5,000 meter, turut berkongsi cuaca di lokasinya iaitu sangat sejuk namun kesihatan dan keadaan mereka sepasukan berada pada tahap baik.

Ahli Keluarga Malaysia-Everest Expedition 2022 itu setakat ini berjaya menawan puncak Island Peak (6,189 meter), ECB (5,360 meter), Annapurna Base Camp (4,130 meter) dan Gunung Kalapathar (5,643 meter) yang semuanya di Nepal serta Gunung Kilimanjaro (5,895 meter) di Tanzania - puncak tertinggi di benua Afrika dan Gunung Fuji (3,776 meter) di Jepun.

Bagi pendaki solo T. Ravichandran, 57, atau lebih dikenali sebagai Ravi Everest yang mengulangi sejarah menawan puncak dunia buat kali ketiga, pendakian kali ini amat berbeza apabila kegembiraan menaklukinya dapat dikongsi bersama pasukan terutama Elango.

“Pendakian kali ini agak berbeza kerana ia bukan lagi pendakian solo dan saya dapat berkongsi kegembiraan ketika di puncak bersama Elanghovan, saya dapat melihat mereka, tepuk bahu mereka dan titisan air mata kegembiraan ketika berada di puncak berbeza daripada pendakian solo sebelum ini,” katanya.

Ini merupakan pendakian ketiga Ravi Everest menawan puncak tertinggi dunia selepas 2006 serta 2007 dan pada pendakian kedua, beliau pernah berdepan cabaran menghidapi radang dingin di lapan jari tangannya.

Mengulas perjalanan ekspedisi itu, beliau memaklumkan pasukannya memulakan pendakian pada 2 Mei menuju ke khemah satu, khemah dua serta khemah tiga dan berhenti untuk berehat pada 5 Mei sebelum meneruskan pendakian dari 9 hingga 11 Mei sekali gus tiba di puncak pada 12 Mei.

Katanya beliau akan meneruskan misi pendakian Gunung Everest buat kali keempat tanpa menggunakan tong oksigen pada 1 April 2023. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image