SEARCH

Seludup migran, samun: Tiga kumpulan jenayah terancang tumpas

30 Jun 2020 / 21:37 H.

KUALA LUMPUR: Tiga kumpulan jenayah terancang terbesar di negara ini yang disyaki turut terlibat dalam penyeludupan migran dan samun berkumpulan tumpas dengan penahanan 111 ahli kumpulan itu.

Turut ditahan ialah ketua ketiga-tiga kumpulan itu, Geng Otong, Geng Halim dan Geng Husen Maungdaw.

Geng Otong diketua rakyat Indonesia dan aktif di Johor, manakala Geng Halim aktif di Perak dengan diketuai rakyat tempatan dan rakyat Rohingya mengetuai Geng Husen Maungdaw yang aktif di Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed pada sidang akhbar di sini hari ini berkata Geng Otong didapati aktif dalam penyeludupan migran sejak tahun 2014 sehingga kini.

“Geng itu diketuai lelaki Indonesia yang dikenali dengan panggilan Otong dengan keahlian dianggarkan 57 orang dan aktif dalam penyeludupan migran di kawasan perairan timur Johor,” katanya tanpa mendedahkan perincian operasi yang membawa kepada penahanan mereka.

Huzir berkata Geng Halim yang dianggotai kira-kira 13 orang pula didapati aktif dalam penyeludupan migran di perairan Hutan Melintang, Perak sejak tahun 2017 sehingga kini.

“Geng Husen Maungdaw pula aktif di perairan utara Semenanjung dan Pulau Pinang, menyeludup migran dan samun dari tahun 2014 sehingga kini. Ia diketuai lelaki Rohingya yang dikenali sebagai ‘Husen Maungdaw dengan keahlian kumpulan itu dianggarkan 19 orang,” katanya.

Beliau berkata majoriti ahli kumpulan itu adalah etnik Rohingya dan mangsa penyeludupan migran serta samun berkumpulan itu juga membabitkan kalangan Rohingya.

Menurutnya ketua dan ahli kumpulan itu pernah beberapa kali ditahan atas kesalahan jenayah migran dan samun serta ada yang telah dituduh di mahkamah tetapi kumpulan itu masih terus wujud dan melakukan kesalahan sama berulang kali.

“Keahlian kumpulan mereka juga semakin hari semakin bertambah dan jenayah penyeludupan migran serta samun yang dilakukan menjadi semakin serius,” katanya.

Huzir berkata ekoran itu, pada 4 Jun hingga 20 Jun lepas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor, JSJ Perak dan JSJ Pulau Pinang melancarkan operasi serentak.

Huzir berkata berkata kesemua mereka yang ditahan dalam operasi itu berusia antara 28 dan 68 tahun dan polis turut merampas pelbagai barang antaranya 29 telefon bimbit pelbagai jenama; sebuah bot nelayan; dua bot laju; lima kereta; dua motosikal; dan wang tunai RM1,500.

Kesemua rampasan dari ketiga-tiga kumpulan itu dianggar bernilai RM1.5 juta.

Huzir berkata kesemua barang yang dirampas itu dipercayai digunakan dalam kegiatan menyeludup dan polis kini memburu lapan lagi saki baki kumpulan jenayah terancang itu iaitu dua orang daripada Geng Otong; empat orang Geng Halim dan dua orang Geng Husen Maungdaw.

“Ahli-ahli kumpulan itu juga akan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 bagi tujuan mengambil tindakan ke atas harta serta kewangan mereka yang disyaki diperoleh daripada kegiatan haram.

“Dengan tindakan penguatkuasaan tegas, polis percaya dapat menghapuskan ancaman keselamatan kumpulan jenayah terancang penyeludupan migran dan samun berkawan,” katanya. - Bernama

email blast