KAPAR: Polis Klang Utara menahan tiga lelaki warga Nigeria yang dipercayai menyeludup keluar minyak masak paket bersubsidi 1 kilogram (kg) pelbagai jenama menggunakan cerek air dan periuk nasi elektrik di sebuah premis perniagaan di Bandar Baru Klang, tiga hari lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao (gambar) berkata kegiatan tiga individu berusia sekitar 30-an hingga 40-an yang menjalankan perniagaan jual beli alat ganti kenderaan terpakai itu terbongkar selepas pihaknya melakukan serbuan sekitar 2 petang di premis tersebut rentetan daripada aduan orang awam berhubung kegiatan mereka.

Vijaya Rao berkata pihaknya turut merampas antaranya 1,100 paket minyak masak bersubsidi 1kg pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM2,750; 225 unit cerek air terpakai pelbagai kapasiti liter bernilai RM7,000 dan 51 peralatan elektrik pelbagai jenis bernilai RM3,000 dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM18,910.

“Modus operandi mereka ini adalah dengan membeli minyak masak paket bersubsidi daripada orang tempatan. Mereka kemudiannya menyembunyikan dua hingga tiga paket minyak di dalam sebuah cerek dan periuk nasi elektrik mengikut kapasiti sebelum dihantar ke Nigeria menggunakan kontena dari negara ini.

“Kami percaya harga minyak masak yang tinggi di Nigeria membuatkan mereka bertindak menyeleweng barang bersubsidi ini. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung berapa banyak minyak paket yang telah dihantar ke sana,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, hari ini.

Vijaya Rao berkata semakan rekod mendapati pasport ketiga-tiga suspek itu telah tamat tempoh sejak tiga tahun lepas dan mereka telah menyewa premis perniagaan itu daripada seorang pemilik tempatan sejak lima tahun lalu serta premis itu mempunyai lesen untuk beroperasi.

“Kita kini sedang giat mengesan pemilik premis tersebut dan ketiga-tiga mereka direman empat hari yang akan tamat esok dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961; Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 55B serta Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image