SEOUL: Seramai sembilan nelayan dilaporkan hilang selepas bot mereka karam di perairan pantai barat daya Korea Selatan.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 11.19 malam Sabtu, dan bot seberat 24 tan itu terbalik sekitar 16.6 kilometer dari barat pulau Daebichi, lapor Agensi Berita Yonhap memetik pihak berkuasa.

Tiga mangsa berjaya diselamatkan oleh bot berhampiran, manakala sembilan yang lain masih hilang.

Presiden Yoon Suk Yeol menggesa usaha mencari dan menyelamat mangsa yang hilang dipergiat.

Beliau turut mengerahkan semua aset yang ada ke lokasi berkenaan serta meluaskan kawasan pencarian, kata jurucakap presiden Kim Eun Hye. - Bernama