HANOI: Malaysia mara ke peringkat separuh akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA ke-31 dengan rekod tanpa kalah selepas seri 2-2 menentang Kemboja pada perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Thien Truong di Nam Dinh, di sini, petang ini.

Namun, sama ada skuad bimbingan Ketua Jurulatih Brad Maloney itu melangkah ke pusingan kalah mati selaku juara kumpulan atau pun tidak bergantung kepada satu lagi pertembungan antara Laos dan Thailand di venue sama, malam ini.

Jika Thailand menang, mereka akan menamatkan saingan kumpulan dengan keseluruhan sembilan mata sekali gus menyaksikan pasukan negara layak selaku naib juara selepas mengumpul lapan mata daripada keseluruhan empat perlawanan.

Pada aksi petang ini, Ketua Jurulatih Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan Brad Maloney membuat lapan pertukaran daripada kesebelasan utama yang diturunkan bertemu Singapura, Ahad lepas dalam usaha merehatkan barisan pemain utama menjelang aksi pusingan kalah mati.

Aksi 45 minit pertama permainan berlangsung hambar, namun Kemboja yang dibimbing Ryu Hirose berjaya memecah kebuntuan pada penghujung separuh masa menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Choun Chanchav selepas bola terkena tangan Quentin Cheng.

Bersambung babak kedua, pasukan negara mempunyai peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan, namun Muhammad Hairiey Hakim Mamat gagal menanduk tepat bola ke gawang hantaran rakan sepasukan Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak pada minit ke-48.

Tiga minit berselang, gol penyamaan dicari-cari tiba selepas Taing Bunchhai menjatuhkan Muhammad Syafik Ismail dalam kotak penalti sebelum Muhammad Hadi tenang menyempurnakan jaringan pertamanya pada temasya sukan dwitahunan itu.

Bagaimanapun, kedudukan seri itu tidak kekal lama apabila Kemboja kembali di depan pada minit ke-61 menerusi penyerang gantian Narong Kakada yang membuat larian pantas meninggalkan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili sebelum tenang meledak gol kedua pasukan.

Maloney kemudian membawa masuk Luqman Hakim Shamsudin dan Muhammad Syahir Bashah pada minit ke-64 sebelum pertukaran itu membuahkan hasil apabila hantaran pendek LuqmanHakim dalam kotak penalti dimanfaatkan Muhammad Hadi untuk meledak gol kedua pasukan pada minit ke-68.

Malaysia hampir mendahului 3-2 tetapi percubaan Muhammad Azam Azmi Murad yang sudah pun menewaskan penjaga gol Kemboja Hul Kimhuy sedikit melewati tiang gol pada minit ke-70 sebelum kedudukan itu kekal hingga wisel penamat.

Pada peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung Khamis ini, Malaysia akan melayani kunjungan Naib Juara Kumpulan A, Indonesia di venue sama sekiranya menjuarai Kumpulan B.

Namun, sekiranya menjadi naib juara, pasukan negara akan bertandang ke Stadium Viet Tri di wilayah Phu Tho untuk membuat perhitungan bersama Juara Kumpulan A, Vietnam. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image