KUALA LUMPUR: Skuad lelaki negara mengesahkan slot ke separuh akhir dengan penuh bergaya selepas membenam Jepun 5-1 pada aksi terakhir Kumpulan B Kejohanan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2022 di Afrika Selatan, hari ini.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan skuad kendalian A. Arul Selvaraj mengumpul enam mata untuk muncul naib juara kumpulan menerusi dua kemenangan, di belakang juara kumpulan, Korea Selatan yang mengutip sembilan mata.

Pada perlawanan di Stadium NWU Astro, Potchefstroom itu, menyaksikan skuad negara tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi jaringan padang Muhammad Najib Abu Hassan, sebelum Jepun menyamakan kedudukan menerusi gol padang Kosei Kawabe pada minit kelima perlawanan.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad ‘Speedy Tigers’ terus melancarkan serangan bertali arus yang akhirnya membuahkan hasil apabila Muhammad Aminuddin Mohd Zain menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-23, sebelum Faizal Saari menyumbat gol ketiga melalui jaringan padang pada minit ke-34.

Malaysia, yang berada di ranking ke-10 dunia, terus menampilkan aksi cemerlang apabila meledak gol keempat hasil jaringan padang pada minit ke-39 menerusi Muhammad Najib, sebelum Mohamad Ashran Hamsani mencetak gol kelima, juga menerusi jaringan padang selang seminit bagi memastikan skuad negara berada di kedudukan selesa sehingga tamat perlawanan.

Kejayaan menumpaskan pasukan Jepun yang berada di ranking ke-17 dunia itu menyaksikan penjaga gol berpengalaman negara Muhammad Hafizuddin Othman dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Malaysia, selaku naib juara Kumpulan, akan menentang juara Kumpulan A, Ireland, untuk memburu slot ke final.

Ketua jurulatih Arul Selvaraj menyifatkan kemenangan berkenaan menunjukkan kematangan dan mutu pemain negara semakin meningkat apabila mampu kekal tenang bagi menguasai perlawanan ketika menentang skuad Jepun sehingga minit-minit terakhir perlawanan.

“Satu kemenangan yang membanggakan dan besar buat pasukan negara. Sebelum ini kita sudah main dengan Jepun dua kali dan kita menang 5-0 dan 4-2, hari ini kita menang sekali lagi 5-1, jadi kita boleh gunakan perlawanan macam ini untuk tingkatkan kepercayaan pasukan sekiranya bertemu Jepun sekali lagi.

“... dan dari segi pertahanan semasa percubaan pukulan sudut penalti lawan, kita memberikan laluan senang untuk Jepun namun kita telah menangkis kesemua lapan percubaan pukulan sudut penalti Jepun dengan begitu baik. Ini adalah hasil kerja mesyuarat sebelum perlawanan dengan mengkaji pukulan sudut penalti pasukan Jepun dan hari ini kita melaksanakan gerakan dengan bagus,” katanya menerusi video yang dikongsikan.

Beliau berkata skuad Speedy Tigers perlu mendapatkan rehat secukupnya dan membuat persiapan untuk terus mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan separuh akhir menentang Ireland, Sabtu ini. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image