SPRM tahan seorang pengarah jabatan kerajaan kerana tuntutan palsu

KOTA BARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan bertindak menahan seorang pengarah sebuah agensi kerajaan Persekutuan, semalam.

Penahanan itu dilakukan pada pukul 4.30 petang di pejabat jabatan itu di Jalan Bayam di sini.

Difahamkan, tangkapan ke atas pengarah yang berumur 45 tahun itu dibuat berdasarkan aduan yang diperolehi membabitkan penglibatan beliau di dalam tuntutan palsu bagi program dan kursus anjuran pihak jabatan tersebut.

Tuntutan yang disyaki mengandungi butiran palsu melibatkan pembekalan makan minum dan peralatan kursus serta program sedangkan pembekalan tidak disediakan sepenuhnya.

Selain itu, tuntutan penyelenggaraan kenderaan jabatan yang disyaki mengandungi butiran palsu kerana dipercayai tiada penyelenggaraan dilaksanakan dan tuntutan bagi program sedangkan program tidak dijalankan dengan sempurna.

Siasatan juga turut melibatkan kes tuntutan palsu bagi program bersama masyarakat di 11 Parlimen di negeri ini yang dipercayai berlaku pada tahun lepas dan pelantikan saudara mara sebagai pembekal perolehan atau perkhidmatan dengan jabatan tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan namun enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Jelasnya, mahkamah telah membenarkan perintah reman selama empat hari 4 bermula 21 hingga 24 Januari dibawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image