BIRMINGHAM: Perenang muda negara Khiew Hoe Yean terus gagal menyinar dalam acara terakhir yang disertainya di Sukan Komanwel Birmingham 2022, selepas hanya menduduki tempat keempat dalam Saringan Tiga acara 200 meter (m) kuak lentang di sini.

Catatan masa dua minit dan 02.01 saat (s) itu hanya meletakkan Hoe Yean pada kedudukan ke-10 keseluruhan.

Perenang tuan rumah Luke Greenback, mengungguli saringan dengan catatan masa 1:56.33s.

Hanya lapan perenang terbaik daripada tiga saringan, layak ke akhir yang akan berlangsung hari ini.

Sementara itu seorang lagi perenang negara Bryan Leong Xin Ren, juga gagal mencatatkan masa yang baik ketika beraksi dalam Saringan Tujuh acara 50m gaya bebas.

Bryan hanya menduduki tempat ketujuh saringan itu dengan catatan masa 23.64s, dan ke-25 keseluruhan.

Lewis Edward Burras dari England yang mencatatkan masa 22.69s pada Saringan Sembilan menjadi perenang terbaik, dengan hanya 16 perenang terbaik layak ke peringkat separuh akhir. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image