HANOI: Perjuangan skuad futsal lelaki kebangsaan memburu pingat di Sukan SEA Ke-31 berakhir selepas tewas 0-3 kepada Indonesia di Kompleks Sukan Ha Nam, hari ini.

Ia merupakan kekalahan ketiga berturut-turut skuad bimbingan Chiew Chun Yong dalam saingan liga sepusingan temasya sukan dwitahunan itu selepas dibelasah Thailand dan Vietnam sebelum ini.

Pada aksi hari ini, skuad kebangsaan berjaya memberikan tentangan sengit dalam 15 minit pertama sebelum gawang pasukan negara dibolosi dua minit kemudian hasil penyudah Syauqi Saud untuk memberikan Indonesia mendahului 1-0 pada separuh masa.

Bersambung babak kedua, semangat pemain negara “dibunuh” seawal permainan bermula apabila Firman Adriansyah meledak dua jaringan dalam tempoh seminit masing-masing pada minit ke-21 dan ke-22.

Terdahulu pasukan negara tewas 2-6 kepada Thailand sebelum diaibkan pasukan tuan rumah 7-1 pada dua aksi pertama.

Anak buah Chun Yong akan menamatkan baki saingan berdepan Myanmar yang turut gagal melakar sebarang kemenangan dalam dua perlawanan pertama di venue sama, Jumaat ini.

Sebagai rekod, Malaysia meraih pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur sebelum futsal tidak dipertandingkan pada edisi 2019 di Filipina. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image