SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memandang serius gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu terutama pemimpin politik yang dilihat boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum serta kestabilan politik di Malaysia.

Sehubungan itu, baginda menggesa agar perpecahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu yang dilihat begitu ketara sekarang, dapat segera dihentikan bagi menjamin kepentingan masyarakat itu dapat dipelihara tanpa mengetepikan hak dan kepentingan masyarakat bukan Melayu di negara ini.

Sultan Sharafuddin bertitah pemimpin-pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan dan kemajuan negara amat bergantung kepada kepimpinan yang stabil.

“Beta tidak berhasrat untuk mencampuri urusan politik dan pentadbiran negara. Bagaimanapun, beta berasa bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan.

“Andai kata pemimpin Melayu gagal menunjukkan kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab, kaum lain akan hilang rasa hormat terhadap pemimpin Melayu sekali gus tidak akan memberi sokongan yang padu kepada pemerintahan orang Melayu,“ titah baginda dalam kenyataan di sini hari ini.

Di samping mengamalkan sikap kepimpinan yang baik dan tidak berbalah sesama sendiri, baginda bertitah pemimpin politik Melayu juga harus bekerjasama dengan pemimpin parti politik kaum lain bagi menjamin pembangunan negara dijadikan keutamaan demi keselesaan hidup rakyat pelbagai kaum.

“Beta telah menonton filem Mat Kilau yang memaparkan bagaimana perpecahan dalam kalangan orang Melayu boleh mengakibatkan pihak-pihak luar mudah menguasai kita.

“Jika dihayati dialog yang digunakan dalam filem ini, ia bertepatan bagi menyampaikan mesej kepada orang Melayu bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak kepada semangat perpaduan dan pegangan kepada agama Islam,“ titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah baginda sedar gejala fitnah-memfitnah berlaku dengan berleluasa dalam kalangan masyarakat dan penyebaran berita-berita fitnah yang tidak ditentukan kesahihannya serta budaya menyerang perilaku peribadi seseorang individu telah menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.

Semua pengkhianatan serta kebencian yang dilahirkan secara terbuka itu seolah-olah telah menjadi satu budaya dalam kalangan masyarakat, titah baginda.

“Oleh itu, beta mengajak semua pemimpin politik dan rakyat di negara ini kepada kebaikan dan mengamalkan budaya sihat yang berpandukan kepada sikap toleransi dan berprasangka baik bagi mencapai aspirasi perpaduan hidup bersama demi kemakmuran negara.

“Beta menyeru agar kita bersama-sama membangunkan sebuah masyarakat yang gagah, bebas daripada rasuah, bermaruah, harmoni dan berwibawa dengan menghormati nilai-nilai perpaduan kemanusiaan sejagat,” titah baginda. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image