KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Goh Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menampilkan aksi cemerlang untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Pada saingan suku akhir, sokongan padu ribuan penyokong sendiri membantu membangkitkan semangat juang beregu nombor 12 dunia itu untuk menundukkan juara Terbuka Indonesia, baru-baru ini, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China.

Ibarat ulangan final Terbuka Jerman 2022, Mac lalu, pasangan China itu gagal membendung permainan bercorak serangan dan pantas oleh wakil tuan rumah dengan menyaksikan beregu negara memiliki kelebihan selesa 13-5 sebelum melengkapkan set pertama 21-11.

Bagaimanapun, set kedua bertambah sengit selepas kedudukan terikat 20-20 sebelum ‘drop shot’ oleh Sze Fei membantu beregu negara mengesahkan slot separuh akhir dengan kemenangan 22-20.

Pada Terbuka Jerman, beregu negara meraih gelaran sulung kejohanan Jelajah Dunia apabila menewaskan gandingan baharu China itu, 23-21,16-21, 21-14.

Pada saingan separuh akhir esok, beregu negara bukan pilihan itu bakal berdepan dengan pemenang antara beregu profesional negara, Yew Sin-Teo Ee Yi dan pilihan keenam, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.

Sementara itu, Sze Fei, ketika ditemui selepas perlawanan, menyifatkan set terakhir sebagai sesuatu yang menggerunkan tetapi sorakan yang memekakkan telinga daripada peminat mendorong mereka untuk menafikan kebangkitan beregu China untuk membawa permainan ke set penentuan.

“Sangat sukar untuk mematikan gerakan mereka (Yu Chen-Xuan Yi) pada set kedua, tetapi kami berjaya untuk lebih bersabar dan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah,” katanya.

Sze Fei juga menegaskan bahawa kemenangan menentang beregu nombor 45 dunia itu pada perlawanan akhir Terbuka Jerman 2022 telah memberi kelebihan kepada mereka untuk mengekalkan rekod bersih.

Dalam pada itu, Nur Izzuddin mengakui kemenangan percuma pada pusingan kedua semalam selepas penarikan diri gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, ekoran kecederaan, sudah tentu membantu mereka berehat dengan cukup dan lebih bersedia menjelang aksi suku akhir.

Untuk rekod, kali terakhir wakil beregu negara mara ke separuh akhir ialah pada edisi 2014 menerusi Goh V. Shem-Lim Khim Wah sebelum mereka muncul juara dengan menewaskan pasangan China, Chai Biao-Hong Wei, 21-19, 21-18. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image