KULAI: DAP menerima dengan terbuka keputusan Pemuda Umno untuk tidak menjemput wakil parti lain dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadiri persidangan pergerakan itu minggu depan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching (gambar) berkata DAP menghormati keputusan itu kerana setiap sayap parti mempunyai pendekatan, pandangan dan kaedah berbeza yang perlu difahami dalam gabungan tersebut.

“Apa juga keputusan yang dibuat Umno mahupun sayap Pemuda, Puteri dan Wanita, kami sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan terima dan hormati. Itu adalah hak Umno.

“Sekiranya dijemput, kami ucapkan terima kasih, namun tidak akan berkecil hati jika tiada undangan kerana itu adalah hak mereka sebagai penganjur dan mungkin ada faktor-faktor tertentu,“ katanya kepada pemberita selepas menonton filem Polis Evo 3 bersama komuniti polis Kulai di sini hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital yang juga Naib Pengerusi DAP Johor itu berkata paling penting adalah Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam Kerajaan Perpaduan sekali gus mengukuhkan gabungan itu.

Jumaat lepas, Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Salleh dilapor berkata pergerakan itu tidak menjemput wakil mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan hadir perhimpunan sayap berkenaan sempena Perhimpunan Agung Umno 2023 pada 7 hingga 10 Jun ini.

Dr Muhamad Akmal dipetik berkata keputusan itu diambil secara sebulat suara menerusi undian oleh semua barisan EXCO dan Ketua Pemuda Umno negeri. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image