SUBANG JAYA: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yakin kerjasama syarikat itu dengan penyedia perkhidmatan van-hailing Kumpool dengan tambang promosi serendah RM1 mampu menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam terutamanya rel.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata melalui kerjasama itu, pengguna KTM Komuter, perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity boleh menggunakan perkhidmatan van-hailing itu ke stesen KTM dari destinasi ditetapkan.

“Melalui jalinan kerjasama ini, pengguna akan menikmati tambang promosi serendah RM1 dari destinasi yang ditetapkan untuk ke stesen-stesen KTMB.

“Kolaborasi ini bertujuan menyediakan pilihan perkhidmatan pengangkutan yang lebih mudah, cepat dan fleksibel kepada para penumpang KTMB yang ditempah melalui aplikasi telefon pintar iaitu Kumpool Ride untuk ke stesen yang terpilih,” katanya pada majlis pengumuman kerjasama tersebut di sini hari ini.

Katanya sebagai permulaan, Stesen Subang Jaya dipilih sebagai projek perintis pertama di Lembah Klang yang mempunyai jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter seramai 48,000 orang sebulan.

Katanya projek perintis berkenaan telah bermula sejak Disember lepas.

“Sementara itu fasa berikutnya akan diperkenalkan di Stesen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada awal Julai tahun ini dan perancangan seterusnya akan diperluaskan ke Wilayah Selatan,” katanya.

Beliau berkata KTMB akan memantau dan menilai hasil pelaksanaan sistem itu serta akan terus merangka strategi penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam supaya ia menjadi pilihan berbanding penggunaan kenderaan persendirian.

“KTMB sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik bersama syarikat pengangkutan e-hailing dan van-hailing memandangkan platform ini semakin menjadi pilihan dalam kalangan pengguna dan membantu merancakkan sistem pengangkutan awam di negara kita,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image