PUTRAJAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sedang mengkaji dan menguji keberkesanan peranti keselamatan elektronik berteknologi baharu dinamakan e-seal, yang akan dipasang pada kontena yang membawa barang dagangan dalam usaha membanteras penyeludupan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata teknologi e-seal bagi menggantikan pengunaan ‘lead seal’ yang telah digunakan sejak bertahun-tahun lamanya sebelum ini, dapat memantau pergerakan kontena dari pelabuhan hingga sampai ke destinasi yang didaftarkan dalam aplikasi.

Beliau berkata ia penting bagi memantau pergerakan logistik kontena serta lori yang membawa barang, sekali gus dapat membanteras aktiviti penyeludupan serta meningkatkan pungutan hasil negara.

“Penggunaannya secara tidak langsung dapat meningkatkan keselamatan kargo, dan kebolehkesanan pergerakan kontena. Barang dagangan dapat tiba ke destinasi dengan tepat pada masanya dan maklumat pergerakan dapat dipantau,“ katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat JKDM di sini hari ini.

Beliau memberi contoh barangan yang akan dibawa dari Pelabuhan Klang di Selangor ke Bukit Kayu Hitam di Kedah, barangan itu mungkin akan ditukar dengan barang lain semasa dalam perjalanan bagi tujuan menyeleweng.

“Tiada cara untuk kita tahu bahawa barang itu berhenti di satu tempat selama dua jam dan kandungan dalam kontena ditukar kepada barangan yang berbeza daripada apa yang telah diikrar.. (tetapi) dengan e-seal, barang itu berhenti dua jam pun kita tahu di mana ia berhenti, dan pegawai kastam akan segera ke tempat itu, melihat kenapa berhenti dua jam (dalam perjalanan),“ katanya.

Ahmad berkata teknologi e-seal itu dibangunkan oleh syarikat tempatan dan telah digunakan secara meluas di negara Afrika Timur seperti Kenya, Uganda, Rwanda, Burundi dan Kongo dan kutipan cukai di negara berkenaan dilaporkan meningkat sebanyak 20 peratus melalui pelaksanaan e-seal itu.

Beliau berkata setakat ini pihak Kastam masih belum memutuskan bila teknologi baharu itu akan mula dilaksanakan dalam negara.

“Tentunya kita ingin menyemak dahulu, kita bukan terus dapat teknologi dan terus menggunakannya, tentulah ada proses tertentu,“ katanya.

Sementara itu Ahmad berkata JKDM berjaya merampas 2,410.22 kilogram (kg) dadah bernilai RM81.39 juta dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, dengan rampasan terbesar melibatkan 1,307.01kg kanabis, ectasy (1,071.14 kg), methamphetamine (21.56 kg), heroin (3.74 kg) dan 10,003 biji eramin 5.

Beliau berkata JKDM juga berjaya menumpaskan cubaan menyeludup barang bersubsidi seperti diesel, minyak masak, petrol dan gula melibatkan 100 kes dengan nilai rampasan RM573,688 pada tahun lepas, dan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini pula, 48 kes cubaan menyeludup barang bersubsidi berjaya dipatahkan, melibatkan nilai rampasan barang bernilai RM432,659. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image