Tempoh masa maklum balas kepada PAC dipendekkan

KUALA LUMPUR: Tempoh masa bagi semua kementerian, jabatan dan agensi memberi maklum balas kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen kini dipendekkan daripada tiga bulan kepada dua bulan.

Pengerusinya Wong Kah Woh (pix) berkata langkah itu bertujuan memantapkan lagi peranan serta tanggungjawab PAC, selain memastikan setiap syor yang diberikan dalam laporannya mendapat perhatian serius dan segera daripada semua Pegawai Pengawal, iaitu Ketua Setiausaha (KSU).

“Selain memendekkan tempoh masa berkenaan, semua KSU juga perlu memberikan laporan interim secara bertulis kepada PAC mengenai tindakan yang sudah diambil terhadap syor dikemukakan jawatankuasa ini dalam tempoh sebulan, manakala pada bulan kedua, semua KSU terbabit perlu hadir di hadapan PAC Parlimen untuk membentangkan maklum balas terkini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wong berkata penambahbaikan terhadap mesyuarat maklum balas itu membolehkan PAC memantau dan rakyat mengetahui tindakan susulan yang diambil oleh kerajaan terhadap syor yang dikemukakan oleh PAC dalam setiap laporannya.

Sejak PAC memulakan mesyuaratnya pada 3 Nov lalu, jawatankuasa itu telah membentangkan empat laporan berhubung Pengurusan Projek Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Perlis; Projek Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP); Penjualan Tanah Milik Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL); dan Aktiviti Kawalan Terhadap Pekerja Asing.

PAC turut membentangkan satu laporan maklum balas daripada kementerian iaitu Laporan Tindakan Susulan Kementerian Kewangan bagi syor-syor Laporan PAC berhubung Tuntutan Tunggakan Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion.

Wong berkata PAC dijangka membentangkan empat lagi laporan, iaitu melibatkan hal Education Malaysia Global Services (EMGS); Laporan Tindakan Susulan Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi syor-syor Laporan PAC berhubung Pengurusan Subsidi Gas Cecair (LPG).

Dua lagi laporan adalah mengenai Laporan Tindakan Susulan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi syor-syor Laporan PAC berhubung Pembangunan Air Mobility; dan Laporan Tindakan Susulan Kementerian Kewangan dan Khazanah Nasional bagi syor-syor Laporan PAC berhubung Kerugian Pelaburan Khazanah Nasional.

Orang ramai boleh mengakses semua laporan PAC yang dibentangkan di Dewan Rakyat di laman web rasmi jawatankuasa di www.parlimen.gov.my/pac — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image