SINGAPURA: Penipuan dalam talian merupakan satu isu yang besar bukan sahaja bagi Malaysia tetapi untuk kebanyakan negara-negara lain, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.

Ia adalah hasil dapatan daripada ‘G2G Ministerial Roundtable: Scams And AI Governance’ yang dihadiri beliau di luar acara Asia Tech x Singapore (ATxSG) yang berlangsung selama empat hari dan berakhir pada 9 Jun, 2023.

Persidangan Meja Bulat Menteri-menteri yang berlangsung selama dua jam itu dihadiri oleh wakil 14 negara serta dipengerusikan oleh Menteri Perhubungan dan Penerangan Singapura Josephine Teo.

Teo berada di Singapura bagi lawatan rasmi tiga hari mulai 5 Jun atas jemputan Kementerian Perhubungan dan Penerangan Singapura (MCI) sempena penganjuran ATxSG yang berlangsung di Capella.

“Jika kita (kerajaan) sahaja ingin mengatasi penipuan dalam talian ia tidak praktikal kerana di belakang penipuan itu ada satu ‘sindiket antara sempadan yang sangat canggih’.

“Jadi kita perlu kongsi maklumat supaya kita boleh ambil tindakan yang lebih cepat,” katanya kepada Bernama di akhir lawatan beliau ke republik ini.

Pada masa yang sama, Teo turut mendedahkan bahawa kerajaan hadapi masalah kurang kerjasama dalam kalangan pelbagai platform penyedia atau ‘Over-The-Top’ (OTT) yang rata-rata merupakan ‘gergasi teknologi’.

“Terdapat OTT yang langsung tidak berhasrat untuk berdialog. Ada OTT yang hadir dalam mesyuarat namun apa yang mereka laksanakan masih tidak memenuhi piawaian atau keperluan yang kita mahu kenakan terhadap mereka.

“Sangat susah bagi sesebuah kerajaan atau negara mengadakan rundingan dengan mereka tetapi sekiranya kita gabungkan negara-negara jiran dalam Asean dalam usaha untuk melibatkan diri dengan OTT tersebut ... ia lebih efektif dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata ramai negara menyatakan persetujuan dengan pandangan yang diutarakannya.

“Jadi saya berharap bahawa sekurang-kurangnya di peringkat Asean, kita boleh menggunakan cara ini (gabungan) untuk memastikan kesemua penyedia platform media social dapat menyediakan platform yang selamat untuk pengguna,” kata Teo.

Ketika lawatan itu, beliau turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Parlimen - Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri & Komunikasi, Jepun Dr. Kunimitsu Ayano.

Dalam pertemuan itu, Teo menyentuh antara topik perbincangan ialah kerjasama berkaitan ‘5G Private Network’ yang telah digunakan secara meluas di negara maju itu.

“Di peringkat Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang merangka polisi berkaitan ‘5G Private Network’ ini,” katanya.

Namun, beliau yakin perkongsian pengalaman negara Jepun boleh memastikan apabila ‘5G Private Network’ mula dilaksanakan di Malaysia, “kami akan memenuhi piawaian antarabangsa dan kami juga akan mengelakkan kesilapan yang telah dilakukan oleh negara lain.”

Pada hari pertama lawatan, beliau mengadakan kunjungan rasmi ke atas Menteri Negara Kanan, Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) Dr Janil Puthucheary di Hill Street di sini.

ATxSG satu platform yang membolehkan perbincangan mendalam mengenai peranan teknologi untuk masa depan digital dianjurkan oleh Infocomm Media Development Authority (IMDA) dan Informa Tech.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image