KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu mengakui terdapat penurunan hingga 33 peratus bekalan telur ayam di negeri ini pada bulan Ramadan berikutan terdapat kekurangan bekalan daripada pihak pembekal.

Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata dianggarkan keperluan telur ayam rakyat Terengganu adalah sebanyak satu juta biji sehari dan bekalan yang diterima adalah kira-kira 600,000 biji dan bekalan itu menurun pada Ramadan iaitu kira-kira 400,000 biji.

“Untuk makluman, di Terengganu tiada penternakan ayam penelur dan Terengganu mendapat bekalan telur ayam daripada pengusaha ladang di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Perak.

“Maklum balas yang diterima daripada pihak pemborong telur ayam menyatakan faktor utama berlakunya penurunan mendadak ini adalah kerana kekurangan bekalan diterima daripada pembekal iaitu pengusaha ladang. Ia adalah disebabkan permintaan telur ayam yang semakin meningkat pada bulan Ramadan dan pihak ladang lebih mengutamakan pasaran setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saharuddin berkata pembelian melebihi kadar biasa oleh pengguna, pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta pengusaha bazar Ramadan turut menyebabkan premis-premis tertentu kehabisan bekalan telur ayam lebih awal sebelum bekalan seterusnya diperoleh sebagaimana dijadualkan.

Bagaimanapun katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan pada hari ini mendapati hanya satu daripada 13 pemborong telur ayam yang kehabisan bekalan, manakala hanya satu daripada 39 peruncit terpilih yang kehabisan bekalan.

“Malah premis berkenaan sudah membuat tempahan dan peladang serta pemborong akan membuat edaran dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna untuk melakukan pembelian telur ayam secara berhemah dan para peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan atas situasi ini dengan menjadikan alasan untuk menaikkan harga.

Katanya, sekiranya terdapat peniaga yang sengaja menaikkan harga telur ayam, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, syarikat boleh dikenakan denda hingga RM500,000 dan bagi individu boleh dikenakan denda hingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun hingga RM50,000. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image