KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang terpaksa melupakan hasrat beraksi pada aksi final pusingan kedua Liga Juara-Juara Trek UCI (TCL) di Berlin, Jerman pada Ahad.

Pada perlumbaan di Velodrom Berlin itu, Azizulhasni menamatkan saingan di tempat kelima dalam acara kegemarannya iaitu keirin, sekali gus gagal ke peringkat seterusnya selepas hanya dua pelumba teratas menerusi tiga saringan berbeza layak ke final.

Juara dunia Harrie Lavreysen dari Belanda mengungguli final acara itu, diikuti pelumba India Esow Alben di tempat kedua dan Santiago Ramirez Morales dari Colombia ketiga.

Pada saringan ketiga pusingan pertama acara pecut pula, ‘The Pocket Rocketman’ mengakhiri cabaran di tempat terakhir di belakang Lavreysen di tempat pertama diikuti Esow di tempat kedua.

Hanya pemenang menerusi enam saringan berbeza layak ke separuh akhir.

Azizulhasni akan meneruskan baki perlumbaan TCL yang berlangsung di Saint-Quentin-en-Yvelines, Perancis pada 26 Nov dan dua perlumbaan berturut-turut di London pada 2 dan 3 Dis. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image