SEARCH

Tiada kedua-dua kaki dan tangan bukan penghalang Zarina berniaga kuih

28 Dec 2020 / 13:40 H.

PUTRAJAYA: Tidak menjadikan alasan ketiadaan kedua-dua tangan dan kaki untuk tidak boleh bergerak mencari rezeki, Zarina Safian menggunakan kerusi roda elektriknya mengelilingi kawasan Tasik Sri Rampai di Setapak, Kuala Lumpur untuk menjaja kuih tepung pelita.

Ibu tunggal dengan sepasang cahaya mata itu mula menyediakan kuih tepung pelita menggunakan mesin khas untuk kegunaan Orang Kelainan Upaya (OKU) pada 6 pagi, dan sebaik siap, Zarina akan meletakkan kuih berkenaan ke dalam bakul untuk memulakan aktiviti jualan pada 8 pagi hingga 4 petang, di kawasan tersebut.

“Saya belajar buat kuih ni dari YouTube dan Alhamdulillah ramai yang suka hasil tangan saya sejak saya mula berniaga kira-kira tiga tahun lepas,” kata Zarina, 36, ketika ditemui pada majlis pelancaran Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP), di sini baru-baru ini.

Zarina merupakan salah seorang penerima terawal inisiatif di bawah SPPP kendalian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), yang membolehkan golongan sasaran antaranya OKU, pelajar dan belia B40 untuk mendaftarkan perniagaan secara percuma.

Tidak malu dan berputus asa dengan keadaan fizikalnya yang tidak sempurna, Zarina berkata beliau tidak mahu hanya duduk di rumah dan menunggu bantuan sampai sebaliknya mahu mencari rezeki tambahan bagi memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada anak-anaknya.

Selain kuih tepung pelita hasil air tangannya, Zarina yang menetap di Taman Setapak Jaya turut menjual kuih talam, seri muka dan karipap yang diambil dari pembuat kuih yang lain.

Mengakui penat perlu bergerak dari satu tempat ke tempat lain untuk menjual kuih dengan menggunakan kerusi roda elektrik, Zarina berharap pihak berkuasa tempatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat memberikannya sebuah tapak tetap di sekitar Tasik Sri Rampai untuk menjual kuih.

“Cabaran saya sekarang ni, saya berniaga di kawasan pejalan kaki, dan saya tahu ia tidak sesuai tetapi di situlah tempat saya mencari rezeki.

“Saya berharap dengan adanya lesen perniagaan yang telah didaftarkan dengan SSM ini, pihak DBKL akan membenarkan permohonan saya untuk mendapatkan tapak kekal untuk menjual kuih-kuih yang saya buat dan yang saya ambil dari orang lain,” katanya.

Zarina turut menyeru rakan-rakan OKU untuk mengambil peluang pendaftaran perniagaan percuma di bawah SPPP.

“OKU keluarlah, kalau tak keluar macam mana orang nak bantu kita,” katanya yang turut berkongsi pengalaman tentang keprihatinan pihak SSM, yang menjejakinya serta membawa beliau ke pejabat SSM untuk mendaftarkan perniagaannya.

“Jangan jadikan OKU sebagai alasan. Kita juga boleh berjaya,” katanya. -Bernama

email blast