KUALA LUMPUR: Polis tidak menerima sebarang permohonan permit daripada mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang dikatakan akan menuju dan berhimpun di Istana Negara bagi menyerahkan satu memorandum hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata bagaimanapun pihaknya akan terus memantau keadaan keselamatan di ketiga-tiga pintu masuk ke Istana Negara.

“Setakat tengah hari ini, tiada mana-mana NGO yang diberikan permit kerana tiada yang tampil membuat permohonan (untuk berhimpun dan serah memorandum kepada pihak Istana Negara).

“Malaysia adalah negara yang mempunyai undang-undang. Kalau nak berhimpun perlu ada permit dan tidak boleh dibuat secara ad hoc. Ia perlu mengikut prosedur yang ditetapkan,“ katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, dilaporkan gabungan 588 NGO akan menyerahkan memorandum semua ahli Parlimen yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyokong Kerajaan Perpaduan kepada Istana Negara.

Ia susulan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa yang memberi masa kepada kedua-dua pimpinan Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya gabungan parti mewujudkan kerajaan perpaduan.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pintu 1, 2 dan 3 Istana Negara mendapati tiada kelibat mana-mana kumpulan NGO atau penyokong yang berkumpul sehingga tengah hari ini dan tahap keselamatan masih terkawal. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image