BALIK PULAU: Polis menahan dua wanita dan seorang lelaki kerana disyaki menjadi ‘keldai akaun’ oleh sindiket penipuan dalam tawaran kerja sambilan dan urusan pelaburan melalui dalam talian yang tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa kerugian.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya semua mereka berusia 26 hingga 48 tahun itu ditahan secara berasingan di Kedah dan Pulau Pinang, dua hari lepas.

“Berdasarkan siasatan, tiga individu yang ditahan itu dipercayai menjadi keldai akaun sindiket penipuan dan jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa ialah daripada RM13,220 sehingga RM61,946 melibatkan kes yang dilaporkan pada tahun ini,“ menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan tiga suspek itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat Seksyen 420 Kanun keseksaan.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara atau sambilan, macau scam dan parcel scam yang kesemuanya dilalukan menerusi media sosial,“ menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Pulau Pinang menafikan video tular memaparkan sekumpulan lelaki yang menunggang kuda sambil membawa bendera parti politik dan tulisan kaligrafi berunsurkan ‘kalimah syahadah’ adalah berkaitan dengan gerakan ekstremis atau pengganas.

Katanya polis mengesan video berdurasi 20 saat yang dimuat naik di beberapa platform media sosial berhubung kejadian berkenaan sebelum menjalankan siasatan selanjutnya mendapati ia berlaku di Kubang Semang, Bukit Mertajam dekat sini yang video berkenaan dipercayai dirakam pada Sabtu lepas (19 Nov).

“Siasatan kami juga mendapati bendera yang dipegang adalah bendera parti politik dan bendera kalimah syahadah yang tiada kaitan dengan gerakan ekstremis atau pengganas, sehubungan itu polis meminta orang ramai menghentikan serta-merta spekulasi yang tidak memberi manfaat malah akan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,“ katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook (FB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang, hari ini.

Katanya kesalahan itu boleh disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi.

Terdahulu, tular klip video berkenaan dalam aplikasi TikTok dan Twitter yang mendakwa sekumpulan lelaki menunggang kuda bersiap sedia untuk berjihad dengan membawa bendera parti politik dan bendera berwarna putih dipercayai kononnya mempunyai unsur Taliban. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image