MELAKA: Polis Melaka menahan tiga penagih termasuk pasangan kekasih dan merampas dadah seberat 35 gram dipercayai heroin dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Ayer Molek di sini tengah malam Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Supt Zulkiflee Rashid berkata lelaki berusia 24 tahun dan kekasihnya, 31 tahun itu ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 22 tahun kira-kira 12.30 tengah malam semalam.

“Lelaki berusia 22 tahun itu merupakan adik kepada suspek berusia 24 tahun dan kedua-dua mereka adalah penganggur manakala wanita tersebut bekerja di kedai makan.

Ujian saringan urin yang dilakukan ke atas suspek mendapati dua lelaki berkenaan positif dadah jenis morfin manakala wanita berkenaan positif dadah jenis methampethamine,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Sementara itu, Zulkiflee berkata sebanyak 274 orang ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah ADB 1952 dan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM22,821.50 dirampas dalam tempoh 17 hari sejak 1 Jan lepas.

“Polis Melaka ingin menasihatkan orang ramai terutama golongan muda supaya berhati-hati memilih pasangan atau berkawan kerana pengaruh dadah boleh menyebabkan mereka terjebak dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah,“ katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta penguatkuasaan di bawah ADB 1952 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis agar tindakan lanjut boleh dilakukan segera. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image