ALOR SETAR: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan heroin selepas menahan tiga individu termasuk pasangan suami isteri dalam dua tangkapan di sini pada Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Mohd Roze Shaari berkata suspek pertama iaitu seorang lelaki berumur 22 tahun ditahan di kawasan tempat letak motosikal di Flat Mergong, di sini pada pukul 12 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan terhadap beg silang yang dipakai suspek yang berasal dari Kuala Ketil itu telah menjumpai satu peket plastik lutsinar yang mengandungi lapan peket lutsinar kecil berisi dadah jenis heroin seberat 56.23 gram (g).

“Lanjutan daripada tangkapan pertama, polis kemudian telah menahan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki pasangan suami isteri berumur 40 dan 37 tahun di tepi Jalan Sungai Petani, Simpang Empat, di sini pada pukul 5 petang hari yang sama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut terhadap beg pinggang yang dipakai suspek lelaki itu telah menjumpai satu peket plastik lutsinar yang berisi ketulan disyaki dadah jenis heroin seberat 338.49 g.

“Hasil soal siasat, polis kemudian pergi ke rumah pasangan suami isteri itu di Kampung Radik, Sik pada pukul 7.15 malam dan menjumpai dadah jenis syabu seberat lebih 5.50 kilogram (kg) dan dadah jenis heroin seberat 1.59 kg,” katanya.

Mohd Roze berkata hasil rampasan keseluruhan dadah jenis heroin ialah seberat 1.99 kg, manakala syabu seberat 5.50 kg dengan nilai keseluruhan RM224,852.

Katanya, ketiga-tiga suspek dipercayai telah menjalankan aktiviti pengedaran dadah di bandar raya ini sejak enam bulan lepas dan sekiranya semua dadah yang dirampas itu terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh 62,000 penagih dadah.

Mohd Roze berkata kesemua suspek direman hingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image