JOHOR BAHRU: Tiga maut manakala seorang remaja cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 13 Jalan Sengkang-Teratai di Tangkak petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tangkak DSP Idris Abdul Rahman berkata kejadian yang berlaku pada 4.30 petang itu melibatkan kereta Toyota Altis dan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Beliau berkata mangsa yang terkorban adalah pasangan suami isteri berusia 56 dan 52 tahun serta anak perempuan mereka yang berusia 17 tahun.

“Pemandu, penumpang hadapan dan belakang Toyota Altis telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi penumpang belakang iaitu anak mereka yang juga remaja perempuan berusia 15 tahun mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut.

“Maklumat mengenai pemandu dan penumpang Toyota Hilux masih belum diketahui, bagaimanapun mereka kini dirawat di Hospital Muar,“ katanya kepada Bernama malam semalam.

Idris berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Altis yang dari Bukit Gambir menghala ke Kampung Teratai telah dilanggar oleh Toyota Hilux yang masuk ke laluan bertentangan.

Katanya ketiga-tiga mayat telah dibawa ke Rumah Mayat Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir Pegawai Bomba Kanan II Jahairi Shukor pula berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada 3.42 petang.

“Kemalangan melibatkan lapan mangsa dengan lima daripada mereka mengalami kecederaan manakala tiga lagi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital berhampiran oleh ambulans KKM manakala mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,“ katanya sambil menambah operasi ditamatkan pada 6.24 petang. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image