JOHOR BAHRU: Tiga lelaki maut termasuk dua rentung manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 172, Jalan Johor Bahru-Seremban berdekatan Kampung Kwongsai, dekat Segamat, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Ahmad Zairy Marinsah berkata ketika kejadian pada pukul 6.30 petang itu kemalangan melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Sienta dan kenderaan jenis Mercedes Benz.

“Pemandu MPV Toyota Sienta dari arah Johor Bahru sedang menghala ke arah bandar Segamat, dipercayai telah gagal mengawal kenderaannya lalu masuk ke aliran jalan bertentangan dan bertembung dengan Mercedes Benz yang sedang menghala ke arah Johor Bahru.

”Pemandu Toyota Sienta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Mercedes Benz dan seorang daripada penumpangnya juga disahkan meninggal dunia. Seorang lagi penumpang Mercedez Benz mengalami kecederaan dan masih menerima rawatan di hospital,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata saksi awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Segamat melalui talian 07-9325811 dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mazuki Ismail berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.24 petang dan sebanyak 10 anggota berserta satu jentera FRT, satu jentera EMRS dan satu utiliti Hilux telah dikejarkan ke tempat kejadian.

”Ketika sampai di tempat kejadian, sebuah kereta jenis Mercedes Benz telah terbakar 70 peratus selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan Toyota Sienta.

”Di dalam kereta yang terbakar itu, terdapat tiga mangsa yang seorang telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam manakala dua lagi tersepit dan telah rentung,” kata Mazuki dalam kenyataan berasingan di sini hari ini.

Beliau berkata Toyota Sienta pula telah terbabas dan jatuh ke dalam gaung pada kedalaman 15 kaki dengan terdapat seorang mangsa tersepit dan disahkan meninggal dunia.

Kesemua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis manakala yang cedera dihantar ke Hospital Segamat.

Operasi selesai sepenuhnya pada pukul 8.45 malam tadi. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image