ALOR SETAR: Tiga pemilik syarikat masing-masing didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memalsukan penyata akaun bank syarikat untuk mendapatkan tender pembersihan awam pada 2019.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu ke atas Azlan Abd Hashim, 48, Nahairizaki Mohd Zin, 42, dan Wan Helmi Wan Darus, 49.

Mahkamah juga memerintahkan ketiga-tiga mereka dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hakim berkata hukuman itu diputuskan dengan mengambil kira kepentingan awam supaya dapat memberikan pengajaran kepada masyarakat supaya tidak berlaku lagi dalam permohonan tender lain.

Ketiga-tiga pemilik syarikat itu dituduh menggunakan dokumen penyata akaun bank syarikat bagi Oktober hingga Disember 2018 sebagai tulen dalam permohonan tender Penswastaan ​​Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

Azlan, Nahairizaki dan Wan Helmi dituduh melakukan perbuatan itu di Wisma Idaman Sdn Bhd, Lot 163&164, Jalan BSG 4, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Bandar Stargate di sini, masing-masing pada 19 Jan 2019, 18 Jan 2019 dan 22 Jan 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 465 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rehab Abdul Shukur manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image