BUKIT MERTAJAM: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan suami isteri dan anak lelaki mereka serta merampas ganja dan heroin bernilai RM53,265 dalam dua serbuan di Seberang Perai Tengah, di sini Selasa lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Supt Mohd Noor Daud berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, polis melancarkan serbuan di sebuah taman permainan di Bukit Minyak pada 9 pagi dan menahan seorang lelaki berusia 49 tahun.

“Polis merampas satu ketulan mampat ganja seberat 7.2 gram (g) bernilai RM550 bersama lelaki itu dan siasatan awal polis mempercayai lelaki berkenaan yang juga seorang buruh berada di taman permainan tersebut bagi menunggu pelanggan.

“Susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat, kediaman sekeluarga berkenaan di Bukit Mertajam pada 10.30 pagi hari sama dan menahan isteri lelaki tersebut yang berusia 53 tahun serta anak lelaki mereka berusia 23 tahun,“ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata polis merampas empat ketulan mampat ganja seberat 1,363g dan 18 peket heroin seberat 2,209g yang dianggar bernilai RM52,715 di rumah itu.

Mohd Noor berkata keluarga berkenaan disyaki aktif dalam sindiket itu sejak Januari tahun lepas bagi pasaran sekitar Seberang Perai Tengah dan polis turut menyita dua motosikal daripada mereka.

Beliau berkata bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari negara jiran dan semua dadah yang dirampas boleh digunakan 3,579 penagih.

“Mereka menjadikan rumah sebagai tempat menyimpan stok dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa kerana kediaman tersebut didiami keluarga,“ katanya.

Menurut Mohd Noor ujian air kencing mendapati semua mereka negatif dadah namun lelaki pertama yang ditahan mempunyai sembilan rekod lampau dadah serta jenayah dan anaknya pula memiliki dua rekod berkaitan dadah.

Katanya kesemuanya direman seminggu bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image