SUNGAI PETANI: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat dijatuhi hukuman penjara 10 tahun selepas didapati bersalah atas 23 pertuduhan berkaitan penipuan pakej umrah ke tanah suci Makkah dan ziarah ke Mesir antara 2015 hingga 2016.

Majistret Arif Mohamad Shariff membuat keputusan itu di Mahkamah Majistret di sini selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah ke atas tertuduh Misbahalmunir Omar, 56.

Mohamad Shariff menjatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan yang keseluruhannya berjumlah 230 tahun namun memerintahkan hukuman itu dijalankan serentak bermula dari tarikh sabitan.

Selain itu, mahkamah mengecualikan tertuduh daripada sebatan memandangkan dia sudah berusia melebihi 50 tahun dan membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara kerana ingin mengemukakan rayuan berkaitan sabitan dan hukuman ke Mahkamah Tinggi.

Mohamad Shariff kemudian menetapkan jaminan RM88,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan antarabangsanya untuk disimpan oleh mahkamah sehingga proses rayuan selesai.

Mengikut fakta kes, Misbahalmunir yang ketika itu adalah Pengarah Urusan Syarikat Raudah Mawaddah Travel & Tours Sdn Bhd yang didaftarkan di Jalan Kuala Ketil di sini telah berurusan dengan seorang individu untuk mengadakan rombongan umrah dan perjalanan ke Mesir pada 2015.

Amzari Halim, yang juga pengadu dalam kes itu, merupakan perunding dan mutawwif umrah telah diminta tertuduh untuk memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan bagi pembelian tiket perjalanan pergi dan balik.

Bagaimanapun, tertuduh tidak memaklumkan kepada pengadu bahawa syarikatnya telah gulung tikar sejak 14 Jan 2015 atas perintah Mahkamah Tinggi Alor Setar dan tertuduh turut meminta pengadu memasukkan wang peserta ke dalam akaun bank milik tertuduh, isterinya serta pekerja-pekerja syarikat itu.

Sebanyak 56 transaksi dilakukan di antara 2 Nov 2015 dan 28 Jan 2016 dengan jumlah RM434,250 membabitkan 202 peserta.

Tertuduh juga telah menghantar jadual perjalanan tiket kesemua peserta kepada pengadu yang menyaksikan penerbangan dijadualkan pada 29 dan 30 Jan 2016.

Bagaimanapun, setelah pengadu dan peserta tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, mereka mendapati kesemua jadual perjalanan tiket yang dibekalkan oleh tertuduh tidak sah serta tidak wujud sebelum membuat laporan polis.

Misbahalmunir telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 26 Jun 2018 atas 23 pertuduhan memperdaya pengadu untuk memasukkan wang yang dikutip daripada peserta terbabit dan dia didakwa melakukan kesemua kesalahan di beberapa lokasi di Kedah, Johor dan Selangor di antara 2 Nov 2015 hingga 28 Jan 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman minimum penjara setahun maksimum 10 tahun serta sebat dan boleh didenda.

Terdahulu, peguam Siti Salwa Jaafar, Mohd Khairul Hafizuddin Ramli dan Siti Haslina Hasbullah memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana tertuduh sudah berusia selain perlu menyara isteri dan lima anak termasuk seorang yang menghidap autisme.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin dan Galvin Loo Wei Ming pula memohon hukuman setimpal kerana kesalahan tertuduh merupakan jenayah teratur serta sistematik selain melibatkan ramai mangsa termasuk dua daripada mereka sudah meninggal dunia. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image