PUTRAJAYA: Bawa dan pertikaikan keputusan pilihan raya di mahkamah jika terdapat bukti wujudnya amalan korupsi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata mahkamah adalah tempat yang paling sesuai bagi menentukan isu itu jika ada pihak yang tidak berpuas hati, terutama berhubung keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

“Jika tidak puas hati buktikan keputusan pilihan raya tersebut patut dibatalkan di mahkamah disebabkan ada amalan rasuah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu Kementerian Perladangan dan Komoditi di sini hari ini.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini menerusi hantaran di laman Twitter mendakwa PRU15 adalah yang paling korup dan mendakwa rasuah diberikan secara terbuka sebelum mengundi.

Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) berkata sesiapa sahaja boleh membuat dakwaan tanpa mengemukakan sebarang bukti.

“Kita ada banyak agensi bertanggungjawab untuk mengurus perkara sedemikian dan biarlah agensi berkenaan laksana tugas dan peranan mereka. Kalau terbukti mereka boleh failkan di mahkamah,“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image