TPM, TDMY bekerjasama dengan industri dron bagi kesediaan teknikal, komersial

KUALA LUMPUR: Technology Park Malaysia Corp Sdn Bhd (TPM) berkolaborasi dengan Terra Drone Technology Malaysia (TDMY) untuk menjalin kerjasama dengan lebih 10 pemain industri dron berkaitan kesediaan teknikal dan komersial.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TPM Sharbani Harun berkata kerjasama itu akan membantu syarikat tersebut melengkapkan lagi syarikat di bawah inisiatifnya, The Drone Living Lab, yang akan dijadikan tapak ujian, mewujudkan ekosistem inovasi berstruktur dalam pembangunan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).

Ketua Pegawai Eksekutif TDMY Izwan Zainal Abidin berkata matlamat syarikat itu adalah untuk menyediakan penyelesaian teknologi terbaik dalam kelasnya kepada Malaysia, membantu rakan kongsi dan pelanggannya menangani cabaran operasi mereka. “Menawarkan perkhidmatan dan sistem dron profesional terbaharu dari 15 pejabat global kami, kami boleh membantu rakan kongsi kami mencapai tahap kecekapan baharu dan menjalani transformasi digital,” katanya pada acara seminar Terra Drone Tech Day 2020, di sini, hari ini.

Selain menggesa pemain industri dron tempatan menyokong usaha mencapai pertumbuhan ekonomi yang kukuh, inklusif dan mampan, Sharbani berkata kerajaan juga melaksanakan pelbagai rancangan dan strategi bagi industri tersebut termasuk National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).”NTIS disasarkan sebagai ‘tempat selamat’ bagi membolehkan penginovasi menguji produk, perkhidmatan, model perniagaan dan mekanisme penghantaran mereka dalam persekitaran langsung. “Ini bermakna proses pengujian perintis teknologi baharu, seperti penghantaran dron dan kenderaan pemanduan sendiri, boleh dijalankan dengan lebih cekap,” katanya. Sementara itu, beliau berkata peserta seminar separuh hari itu boleh menjadikan ia sebagai platform bernilai bagi berkongsi maklumat, peluang penerokaan dan menangani cabaran yang dihadapi ekosistem dron. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image