GEORGE TOWN: Pelaksanaan inkues terhadap kes doktor pelatih maut akibat terjatuh dari unit kediamannya akan ditentukan oleh pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata polis sedang melengkapkan kertas siasatan kes tersebut dan setakat ini pihaknya mendapati tiada unsur jenayah.

“Kertas siasatan itu hampir siap dan kami perlukan dua atau tiga perkara lagi untuk melengkapkannya (kertas siasatan) dan setakat ini siasatan kes tersebut mendapati tiada unsur jenayah, kami masih siasat sebagai mati mengejut.

“Kami akan hantar kertas siasatan itu kepada pejabat TPR dalam masa terdekat, sama ada perlu inkues atau sebaliknya bagi kes tersebut, ia bergantung kepada arahan selanjutnya daripada pejabat TPR,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya sehingga kini seramai 21 orang termasuk ahli keluarga, rakan sekerja dan doktor tempat mangsa bertugas telah direkodkan keterangan berhubung insiden itu.

Doktor pelatih di Hospital Pulau Pinang itu ditemukan maut dipercayai terjatuh dari apartmen yang disewanya di Jalan Datuk Keramat di sini, 17 April lepas.

Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan akan menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat kematian mangsa dan dakwaan buli di hospital itu. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image