KUALA LUMPUR: Seramai tujuh ahli panel badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima surat cara pelantikan semalam.

Kesemua mereka dilantik sebagai Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang merupakan lantikan semula dan baharu.

Surat cara pelantikan itu disampaikan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang diiringi Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mereka dilantik secara pentadbiran oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ahli panel badan pemantau bebas SPRM bagi tempoh dua tahun.

“Kesemua individu yang dilantik tersebut terdiri daripada golongan profesional serta pakar daripada pelbagai bidang yang diyakini dapat membantu SPRM dalam mencapai matlamat mewujudkan masyarakat yang membenci rasuah di pelbagai sektor.

Tempoh pelantikan ahli PPPR lantikan semula dan baharu ini berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022 hingga 30 Jun 2024,” menurut kenyataan itu.

Ahli-ahli PPPR terdiri daripada bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah yang dilantik sebagai pengerusi dan merupakan lantikan semula.

Turut dilantik semula Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin manakala Naib Pengerusi Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dilantik pada 1 April lepas.

Empat ahli PPPR yang baharu adalah bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail, Gabenor Institut Tabdir Urus Korporat Malaysia Datin Yasmin Tan Sri Ahmad Merican, Penasihat Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod serta Pengasas dan Pengerusi Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd Ali Hassan Mohd Hassan.

Menurut SPRM, antara peranan ahli PPPR ialah menasihati SPRM bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pemeriksaan dan perundingan terhadap amalan, sistem dan tatacara kerja di sektor awam dan swasta yang membuka ruang dan peluang perlakuan jenayah rasuah.

“PPPR juga berperanan membantu SPRM sebagai komunikator utama dalam meraih sokongan masyarakat, pihak media dan sektor-sektor yang dikenal pasti terhadap usaha-usaha pencegahan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image