KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai seorang daripada dua Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan melakar sejarah baharu apabila beliau menjadi Ahli Parlimen pertama dari Sarawak menjawat jawatan itu.

Lantikan beliau diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media pengumuman barisan Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya malam semalam.

Fadilah, 60, yang merupakan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut memegang portfolio sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Beliau antara tujuh Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri terdiri daripada lima wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan dua dari Sabah iaitu masing-masing daripada Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Empat wakil GPS adalah Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang dilantik sebagai Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan), Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara).

Dua menteri dari Sabah adalah Datuk Ewon Benedick daripada PH yang menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Datuk Armizan Mohd Ali daripada GRS pula dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengumumkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang lagi Timbalan Perdana Menteri dalam senarai 28 anggota Jemaah Menteri bagi Kerajaan Perpaduan.

Anwar turut memaklumkan senarai timbalan menteri akan diumumkan kemudian.

Kabinet baharu yang diumumkan hari ini dijadualkan mengangkat sumpah jawatan menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image