BATU PAHAT: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) baharu pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-22 universiti itu di Dewan Sultan Ibrahim di sini.

Pada majlis sama, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani dilantik sebagai Pro-Canselor UTHM yang baharu.

Jawatan Canselor UTHM sebelum ini disandang Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sejak 2002, manakala jawatan Pro-Canselor dipegang Tunku Ismail sejak 2010 dan bekas Ketua Setiausaha Negara Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa sejak 2014.

Tunku Ismail ketika merasmikan istiadat berkenaan bertitah golongan muda termasuk graduan diingatkan agar tidak meniru atau terikut-ikut dengan budaya serta pelbagai anasir tidak baik, sebaliknya berpegang kukuh kepada agama untuk menjadi generasi pelapis yang mampu membawa negara kepada satu tahap lebih maju.

Tunku Mahkota Johor bertitah graduan perlu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan supaya sentiasa bersedia dan berupaya mempertahankan kemakmuran serta kesejahteraan negara.

Baginda turut bertitah perpaduan dan muafakat adalah nadi penting dalam Bangsa Johor selain kepelbagaian agama, budaya serta adat resam sesuatu kaum harus terus dihormati dan dipelihara.

“Permuafakatan dan semangat Bangsa Johor menyumbang kepada kepesatan ekonomi dan hasilnya jelas dapat dilihat sebagaimana negeri ini berada sekarang. Teras bersatu perlu sentiasa diterap dan diperkukuhkan dalam apa jua bidang tidak kira sukan, politik, ekonomi mahupun pendidikan,” titahnya.

Tunku Ismail turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya dan mendoakan UTHM terus menjadi universiti yang relevan dan dinamik dalam melahirkan graduan ke arah pemikiran kelas pertama setelah 30 tahun penubuhannya dengan memperoleh pengiktirafan di peringkat global.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM Prof Dr Ruzairi Abdul Rahim ketika berucap pada majlis yang sama berkata seramai 4,484 graduan UTHM layak menerima sijil masing-masing pada Istiadat Konvokesyen UTHM ke-22 bermula hari ini hingga Khamis depan.

“Dengan berlangsungnya istiadat konvokesyen ini maka jumlah graduan UTHM hingga 2022 telah mencecah 53,760 orang,“ katanya.

Pada istiadat itu bekas Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM Datuk Dr Mohd Sofi Osman menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kejuruteraan Mekanikal, manakala bekas Naib Canselor UTHM Prof Datuk Dr Wahid Razzaly menerima Anugerah Profesor Emeritus.

Penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) ialah Muhammad Faris Abdul Hadi, graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Bioteknologi) daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Khoo Chun An, graduan Sarjana Muda Sains (Matematik Teknologi) daripada Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi.

Graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Hajar Shahirah Che Ariffin daripada Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina pula menerima Anugerah Sultan Ibrahim. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image