KUALA LUMPUR: Umno akan meneliti rayuan ahlinya yang digantung keahlian untuk kembali aktif dalam perjuangan parti.

Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihak Lembaga Disiplin Umno akan meneliti setiap rayuan yang diterima sebelum keputusan akhir sama ada rayuan tersebut diterima atau tidak diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT).

“Setakat ini banyak rakan yang digantung keahlian telah mengemukakan surat rayuan untuk diterima semula sebagai ahli Umno. MT sangat terbuka untuk ambil sebarang cadangan Lembaga Disiplin.

Lazimnya laporan daripada Lembaga Disiplin untuk sokong atau tolak akan dibawa kepada Jawatankuasa Pengurusan seterusnya dibawa ke MT kerana hanya MT yang boleh membuat keputusan muktamad mengenai apa juga keputusan sama ada amaran, gantung atau pecat,” katanya dalam sidang media selepas ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2023 di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengesahkan setakat ini Umno tidak menerima sebarang rayuan daripada bekas ahli yang telah dipecat untuk kembali ke pangkuan parti itu.

Umno sebelum ini antaranya menggantung keahlian Ketua Umno Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Sufian Hamdan, bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk tempoh enam tahun.

Turut digantung keahlian ialah Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff manakala antara yang dipecat ialah bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin yang juga bekas Timbalan Ketua Bahagian Umno Rembau dan bekas Ketua Bahagian Umno Ketereh Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Bahagian UmnoTanjung Karang Tan Sri Noh Omar. -BERNAMA

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image