KUALA LUMPUR: Teladan Setia Group Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Asal Harta Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli dengan Megan Mastika Sdn Bhd bagi membeli tanah pajakan seluas 3.1 hektar di Melaka bernilai RM48.5 juta.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Urusannya Richard Teo Lay Ban berkata cadangan pembelian itu selaras dengan strategi syarikat untuk mengimbangi pembangunan simpanan tanahnya bagi memenuhi persekitaran dan permintaan pasaran yang berbeza.

Beliau berkata ketika kumpulan itu berusaha untuk meningkatkan cadangan nilai dalam projek hartanahnya, tanah ini diperuntukkan untuk pembangunan pusat kesihatan dan kesejahteraan serta kediaman pangsapuri perkhidmatan.

“Tanah itu terletak secara strategik di tengah-tengah bandar raya Melaka, iaitu bertentangan dengan Pusat Perubatan Mahkota dan dalam jarak berjalan kaki ke tempat pelancongan popular termasuk Jonker Street.

“Memandangkan kawasan ini merupakan kawasan utama dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa, kami yakin projek itu akan berjaya,” katanya.

Teo berkata Teladan Setia juga akan mendapat manfaat daripada permintaan terpendam untuk hartanah kediaman yang muncul daripada pemulihan aktiviti ekonomi dan industri pelancongan.

“Selain itu, kami meneruskan strategi kami untuk mengumpul tanah strategik yang membawa potensi nilai ekonomi dan pendapatan masa depan yang positif kepada kumpulan kami,” katanya.

Teladan Setia berkata sejak dua tahun lepas, ia telah membeli simpanan tanah baharu di Melaka seluas 347.2 hektar.

Termasuk perjanjian ini, ia berkata jumlah simpanan tanah kumpulan akan terus meningkat kepada 447.9 hektar, membolehkannya meningkatkan aktiviti pembangunan hartanahnya dan menjana pendapatan mampan jangka panjang.

Pembelian itu dijangka selesai pada suku keempat 2023, tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image