SEARCH

Veteran tentera, Orang Asli bantu lindungi khazanah hutan negara

29 Jun 2020 / 17:37 H.

LIPIS: Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) bagi melindungi khazanah hutan negara oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) diperkukuh dengan penglibatan veteran tentera dan Orang Asli sebagai renjer hidupan liar di lokasi tumpuan pencerobohan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata buat permulaan, seramai 100 veteran tentera dan 50 Orang Asli dilantik selepas mereka menamatkan latihan asas selama 10 hari mulai 20 Jun lalu, dengan lantikan dibuat secara kontrak.

Selain bayaran perkhidmatan bulanan, Shamsul Anuar berkata mereka turut menerima elaun dan kemudahan bertugas rasmi sepanjang berkhidmat membantu tugasan kawalan sempadan dan “smart patrolling” di taman negara, rizab hidupan liar, hutan simpan kekal dan pos kawalan sempadan.

“Saya yakin pengalaman dan kepakaran mereka dapat meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan, pembalakan haram dan pemburuan hidupan liar selain membuka peluang pekerjaan kepada golongan terlibat,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Sebagai Renjer Hidupan Liar di Taman Negara Sungai Relau di sini, hari ini.

Shamsul Anuar berkata mereka akan ditempatkan di Taman Negara di Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Endau-Rompin Johor, selain di Royal Belum di Perak serta di tiga rizab hidupan liar iaitu di Sungkai, Perak; Sungai Dusun, Selangor dan Kuala Krau, Pahang.

Antara kursus yang dijalani mereka ialah pengurusan hidupan liar, pengurusan sempadan, latihan ikhtiar hidup dan asas penggunaan peralatan navigasi dan komunikasi.

Shamsul Anuar juga berterima kasih kepada Kementerian Kewangan kerana meluluskkan peruntukan bagi melantik renjer hidupan liar itu yang turut mendapat kerjasama penuh Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Mengulas perkembangan lain, Shamsul Anuar berkata pelaksanaan BP3 yang bermula secara rasmi pada 16 Jun lalu adalah kesinambungan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang sebelum ini melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, polis dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Pada tahun ini setakat Mei lalu, OBK telah berjaya menangkap 32 kes melibatkan 64 suspek dengan nilai rampasan berjumlah RM636,600 selain turut memusnahkan 433 jerat,” katanya.

Shamsul Anuar berkata sejak OBK dilancarkan pada 3 Sept 2019 hingga 31 Dis tahun sama, pasukan operasi itu telah menangkap 36 kes melibatkan 82 suspek terdiri daripada 33 rakyat tempatan dan bakinya warga asing dari Thailand, Bangladesh, Indonesia, China, Kemboja, Vietnam dan Myanmar selain memusnahkan 460 jerat.

Sebanyak 10 kes pula telah dihadapkan ke mahkamah dengan lima kes selesai melibatkan denda berjumlah RM150,000 dengan nilai sitaan bernilai RM2.7 juta. – Bernama

email blast