KUALA LUMPUR: Insiden dalam satu video berdurasi satu minit 32 saat yang tular hari ini di laman sosial, memaparkan seorang bayi perempuan dikasari, merupakan kejadian yang berlaku pada 21 Mei lepas, di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Samudera, Batu Caves di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Supt Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata satu laporan polis telah dibuat ibu bayi tersebut pada hari yang sama, selepas mendapati terdapat beberapa kesan lebam pada paha dan pipi anaknya.

“Pihak polis telah menahan seorang perempuan warga tempatan berumur 23 tahun, yang merupakan pengasuh di pusat jagaan tersebut dan suspek telah dituduh di Mahkamah Selayang pada 30 Mei.

“Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak–Kanak 2001, suspek mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman denda RM10,000 dan bon kelakuan baik selama tiga tahun, serta dikenakan Perintah Khidmat Masyarakat,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Noor Ariffin berkata pemilik pusat jagaan tersebut, turut dituduh di bawah Seksyen 6(2) Akta Taman Asuhan Kanak–Kanak 1984, namun suspek tidak mengaku salah dan sebutan semula kes pada 7 Ogos.

“Bagi pertuduhan di bawah Undang-Undang 3, Undang-Undang Kecil Tred Perlesenan, Perniagaan dan Industri (Majlis Perbandaran Selayang) 2007, suspek mengaku salah dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,000,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang komen berhubung video tular terbabit yang boleh mendatangkan kemudaratan awam. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image