(Video) Mahathir buat penampilan istimewa video muzik ‘Anak Bangsa Malaysia’

KUALA LUMPUR: Bersempena sambutan Hari Malaysia esok, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat penampilan istimewa dalam video muzik lagu patriotik berjudul ‘Anak Bangsa Malaysia’ untuk tatapan umum, mulai hari ini.

Video muzik berdurasi 4 minit 12 saat nyanyian Hazama Ahmad Azmi atau nama pentasnya, Hazama itu dimuat naik dalam laman Facebook rasmi Dr Mahathir, malam ini.

Negarawan itu kelihatan muncul di penghujung video muzik berkenaan dengan bait-bait kata:

Bangsa kita bangsa merdeka,

Gagah dan kuat kerna kepelbagaian,

Dari yang banyak menjadi satu,

Membawa negara ke persada dunia,

Walaupun terdapat perbezaan,

Tembok pemisah kita robohkan,

Bersatu padu tanpa kira warna kulit,

Kerana kita adalah...

Anak Bangsa Malaysia!

Video muzik itu turut memaparkan pertemuan Dr Mahathir dengan Presiden Rusia Vladimir Putin sempena Forum Ekonomi Timur Ke-5 (EEF) di Vladivostok, Rusia, baru-baru ini.

Lirik dan lagu Anak Bangsa Malaysia itu dihasilkan Amin Iskandar.

Sambutan Hari Malaysia 2019 akan berlangsung di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak, malam esok. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image