KUANTAN: Seorang wanita yang terjun ke Sungai Belat berhampiran Jeti Tanjung Punai di sini petang semalam ditemukan lemas di sungai itu hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mayat wanita berusia 42 tahun itu ditemukan pada 11.36 pagi kira-kira 50 meter dari lokasi dia dikatakan terjun semasa melarikan diri dari serbuan operasi narkotik di kawasan tersebut.

“Kejadian disaksikan oleh seorang lelaki Rohingya yang cuba menyelamatkan mangsa namun tidak berjaya kerana keadaan air pasang dan arus deras,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan keterangan anak lelaki mangsa, wanita itu didapati mempunyai masalah ketagihan dadah dan kerap ke lokasi berkenaan untuk melepaskan gian.

Mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image